PELAKSANAAN MAJLIS SULH HIBRID ANTARA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN DAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SARAWAK

  1. Home
  2. »
  3. Berita
  4. »
  5. PELAKSANAAN MAJLIS SULH HIBRID ANTARA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN DAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH…


Dr. Zulzaidi Mahmod, 4 Januari 2024

Sendayan I Satu sidang Majlis Sulh telah diadakan secara hibrid dengan kehadiran pihak-pihak ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan (Kompleks Kehakiman Syariah Sendayan dan Kompleks Kehakiman Syariah Sibu) dan Majlis Sulh telah dijalankan secara dalam talian. Kerjasama ini dilaksanakan di antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) untuk memastikan perjalanan prosiding Mahkamah berjalan dengan lancar dan efisien. Perjalanan Majlis Sulh ini merealisasikan penggunaan teknologi melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh.

Sidang Majlis Sulh ini melibatkan kerjasama dua (2) orang Pegawai Sulh iaitu Dr. Zulzaidi Mahmod (JKSNS) dan Tuan Haji Najaruddin Nedri (JKSS). Lebih menarik sidang Majlis Sulh ini berlangsung dalam keadaan pihak Plaintif berada di Sibu Sarawak, Defendan berada di Sendayan Negeri Sembilan bersama dengan Pegawai Sulh Dr. Zulzaidi manakala Pegawai Sulh daripada Sarawak iaitu Tuan Haji Najaruddin berada di Kuching Sarawak. Perjalanan prosiding berjalan dengan lancar dan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dengan bantuan kedua-dua Pegawai Sulh.

Prosiding yang melibatkan kehadiran dua (2) Pegawai Sulh daripada 2 buah negeri dalam satu prosiding Majlis Sulh menunjukkan bahawa Majlis Sulh adalah bersifat fleksibel dan mudah dengan kebenaran dan kehendak pihak-pihak bagi mencapai persetujuan. Kerjasama sebegini selaras dengan objektif JKSNS iaitu menyediakan dan mempertingkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pentadbiran.

UNIT SULH
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN

Skip to content