Dewan Serbaguna Wisma LKIM, 19 Disember 2024 – PUSPANITA LKIM telah mengadakan seminar Hak-Hak Wanita serta Pengurusan Harta Dalam Islam khusus bagi kakitangan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Seminar ini telah dihadiri oleh YBrs Hajah Zarina binti Abd Latiff, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi 1 PUSPANITA LKIM.
Seramai 170 orang peserta terdiri daripada ahli PUSPANITA LKIM telah menghadiri seminar ini secara fizikal. Kakitangan LKIM juga turut mengikuti seminar ini secara online menerusi Platform Google Meet yang telah disediakan oleh urusetia.
2 orang penceramah jemputan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) telah dijemput khas pada seminar ini. Siri ceramah pertama telah disampaikan oleh *Puan Zailifah bt Rusly dengan tajuk : Hak-Hak Wanita Menurut Undang-Undang.* Beliau telah menerangkan tentang tanggungjawab serta hak-hak wanita di dalam Islam dan menurut Undang-undang sebelum dan selepas perceraian. Beliau juga telah berkongsi pengalaman sepanjang menyelesaikan kes di mahkamah dan menekankan aspek kepentingan penyelesaian kes secara damai.
Siri ceramah kedua telah disampaikan oleh Tuan *Hamizan bin Mohd Nor dengan tajuk : Pengurusan Harta Dalam Islam.* Beliau telah menerangkan bagaimana pengurusan harta bagi orang Islam, semasa hidup, selepas kematian, dalam perkahwinan serta selepas perceraian. Berdasarkan kemahiran dan pengetahuan luas dalam bidang faraid, beliau juga telah berkongsi bersama peserta bagaimana pengiraan hukum faraid.
Seminar ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan di kalangan para peserta. Pelbagai persoalan telah diajukan kepada penceramah jemputan. JKSNS merakamkan setinggi penghargaan kepada PUSPANITA LKIM selaku pihak penganjur. Kejayaan seminar ini adalah hasil kerjasama erat di antara LKIM dan JKSNS. Semoga dengan perkongsian ilmu ini memberi manfaat, ilmu, serta nilai tambah kepada masyarakat khususnya kepada semua peserta yang hadir.