LANGKAWI, 1 Disember 2024 – Program Pemantapan Pengurusan Kumpulan dan Pembangunan Modal Insan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 November hingga 1 Disember 2024 di Pulau Langkawi, Kedah. Program tersebut melibatkan 40 orang peserta terdiri daripada Rakan Pebimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan ahli Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS). Pihak JKSNS telah mendapat jemputan untuk mengadakan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menjayakan _Corporate Social Responsibility_ (CSR) anjuran LKIM perkampungan Nelayan di Langkawi. Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk Program Kesedaran Kelestarian Pantai bersama penduduk Pengkalan Nelayan Pasir Hitam serta Program Rahmah Mesra Madani bersama penduduk Pulau Tuba.
Program ini turut dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie JKSNS iaitu YAA Dato’ Hj. Kamal Bashah bin Dato’ Ahmad Tajuddin dan Pengerusi LKIM Ybhg. Tuan Haji Faiz Bin Fadzil serta kakitangannya. Pengarah program ini Puan Nurulakmar binti Mohamad Hilmi dan dibantu oleh Tuan Hamizan bin Mohd Nor (Penyelaras program) telah merancang agar program ini memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada para peserta daripada JKSNS mengenali dengan lebih dekat peranan LKIM serta bersama-sama menimba ilmu tentang pengurusan dan pembangunan modal insan mereka disamping mengadakan hubungan kerjasama antara JKSNS khususnya dalam aspek pertukaran pengetahuan serta pendedahan kepada perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat. Selain itu juga, pihak JKSNS berharap semua peserta yang menyertai program ini dapat menerapkan kepentingan dan aplikasi etika kerja yang tinggi serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kolaborasi dalam pasukan.
Melalui program ini pelbagai aktiviti menarik telah dapat disertai oleh para peserta bersama-sama penduduk setempat seperti gotong royong pembersihan pantai, mengecat semula bangsal dan tandas pengkalan nelayan, kenduri sekampung serta penyerahan bantuan oleh pihak LKIM.
Objektif utama program ini adalah mendidik peserta yang terlibat daripada JKSNS dan juga masyarakat setempat tentang kepentingan pemuliharaan pantai dalam aktiviti pembersihan, membina kemahiran pengurusan sumber alam sekitar dan pemantauan berterusan ekosistem marin. Melalui program ini, ianya mampu mewujudkan perubahan sikap positif dalam kalangan peserta, penduduk, membina model komuniti lestari, mengurangkan pencemaran dan melindungi biodiversiti pantai. Program ini bertujuan membina hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitar.
Dengan melibatkan penduduk Pengkalan Nelayan Pasir Hitam dan Penduduk Pulau Tuba Langkawi secara langsung, program ini menjanjikan pendekatan yang lebih inklusif dan berkesan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Ia bukan sekadar inisiatif jangka pendek, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan lestari komuniti pantai.
Diharapkan inisiatif ini akan menjadi model bagi kawasan pantai lain yang menunjukkan bahawa perubahan bermula dari tahap akar umbi dan setiap individu mempunyai peranan penting dalam memelihara alam sekitar kita. Pihak JKSNS mengucapkan terima kasih kepada pihak LKIM, MAINS dan penduduk kampung yang terlibat dalam memastikan bahawa JKSNS terus unggul dan cemerlang dalam perkhidmatan kepada masyarakat.
πππ₯ππ πππ¦π‘π¦