PERTANYAAN/CADANGAN/MAKLUMBALAS

 

PERTANYAAN/CADANGAN/MAKLUMBALAS

 

JAWAPAN

Saya ingin membuat aduan tentang seorang individu yang tidak mengikut ajaran agama Islam dan beliau mengikut ajaran agama lain. Malah beliau telah memohon untuk keluar agama Islam dan menghadiri beberapa sesi kaunseling. Saya berharap pihak tuan dapat mengambil tindakan sewajarnya di mana ia akan menjadi pengajaran kepada pihak- pihak yang menganggap agama Islam sebagai mainan.

 

Puan,

Terima kasih atas pertanyaan yang diajukan.

1. Berdasarkan kepada fakta dan soalan Puan berhubung tingkahlaku individu tersebut, langkah awal yang boleh diambil ialah dengan membuat aduan ke talian 06-767 2756/ 2757 atau hadir ke :

    Bahagian Penguatkuasaan

    Jabatan Hal Ehwal Agama Islam

    PT 973, Jalan Medan Rahang

    70100 Seremban

    Negeri Sembilan Darul Khusus.

2. Maklumat dan latarbelakang yang disyaki akan diambil dan maklumat diri pengadu juga perlu direkodkan untuk dirujuk oleh pihak Penguatkuasa Agama pada bila-bila masa diperlukan serta menunjukkan kebertanggungjawaban pengadu terhadap aduan yang dikemukakan.

3. Siasatan akan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut.

Untuk keterangan lanjut Puan boleh menghubungi Bahagian Pendakwaan , Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) (06-767 2756 / 2757)/ Faks : 06-7672867.

Semoga maklumat ini dapat membantu Puan.

Sekian.

Salam sejahtera,

 

Tuan/Puan,

 

Merujuk perkara diatas,adalah saya ingin membuat permohonan isytihar keluar dari islam.

 

2.Tujuan permohonan ini dibuat,oleh kerana saya tidak dapat menerus kekal sebagai seorang islam(muallaf) atas sebab tidak dapat menipu diri saya sendiri.

 

3.Untuk makluman tuan/puan,saya telah memeluk agama islam pada tahun 2009 . Tahun ini sudah 9 tahun saya dalam islam,namun saya masih tetap nyatakan keinginan isytihar keluar islam. Tiada gunanya saya menipu dengan semua orang tentang diri saya sendiri dengan hati yang kosong.

 

4.Saya berharap pihak tuan/puan dapat memberi pandangan dan cara untuk saya mengikut segala syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kehakiman dan memohon permohonan saya diterima. Saya bersedia untuk dibicarakan mengikut kehendak jabatan kehakiman syariah dan bersedia untuk didenda. Saya tidak berniat untuk memberi imej yang buruk kepada agama islam. Saya belum bersedia untuk terima islam dan seperti dinyatakan di perenggan (2).

 

5.Saya berharap pihak tuan/puan dapat memberi maklum balas dan segala pertimbangan pihak Jabatan Kehakiman amat saya hargai.

Tuan,

Terima kasih atas pertanyaan yang diajukan.

1) Merujuk kepada persoalan berkenaan permohonan pengisytiharan status agama di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan ini, perkara yang perlu dipatuhi adalah berdasarkan kepada Seksyen 119 (2A) (Keluar daripada agama Islam) sebagaimana berikut :

(2A) Suatu permohonan bagi pengisytiharan di bawah subseksyen (2) boleh dibuat jika—

(i) pemohon dilahirkan sebagai seorang Islam, dia hendaklah dilahirkan dan domisil di dalam Negeri Sembilan; atau

(ii) pemohon seorang muallaf, dia hendaklah memeluk Agama Islam di dalam Negeri Sembilan, telah berdaftar mengikut peruntukan seksyen 111 dan domisil di dalam Negeri Sembilan.

2) Oleh yang demikian, berdasarkan kepada peruntukan ini, mewajibkan 3 kehendak yang perlu dipatuhi iaitu:

a) Pemohon seorang muallaf ;

b) Memeluk agama Islam di dalam Negeri Sembilan (daftar mengikut Seksyen 111) ; dan

c) Berdomisil/ bermastautin di Negeri Sembilan

Jika ada mana-mana kehendak seksyen ini yang tidak dipatuhi, maka Pemohon tidak boleh memfailkan kesnya di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.

3) Justeru, sekiranya tuan memenuhi kriteria seperti yang dinyatakan di atas, maka tuan boleh hadir ke kaunter Mahkamah Syariah ini untuk mendapat/ mengisi borang dan mendaftarkan kes.

4) Dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran Kes Pengisytiharan Status Agama :

i.  2 salinan IC ;

ii. 2 salinan Sijil Kelahiran ;

iii. 2 salinan Sijil Pemelukan Islam ;

iv. 2 salinan Sijil Kelahiran ibu dan bapa pemohon ; dan

v.  2 salinan Sijil Kematian ibu dan bapa pemohon (sekiranya telah meninggal dunia).

Bagi prosedur lanjut kes, pertanyaan boleh diajukan terus kepada Pegawai di Kaunter Pendaftaran.

Semoga maklumat ini dapat membantu tuan.

Saya telah bercerai dengan suami saya pada bulan yang lalu. Kini saya berhasrat untuk mendapatkan hak jagaan anak-anak saya. Dokumen apakah yang diperlukan untuk permohonan ini?

 

 

Puan,

Terima kasih atas soalan yang diajukan.

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan, Puan hendaklah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan yang terletak di Bandar Sri Sendayan kerana bagi Kes Hak Jagaan anak tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah (Sek. 61, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003). Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pemfailan kes ini ialah :

1)   3 salinan kad pengenalan Plaintif (pihak yang menuntut) * sekiranya Kad Pengenalan beralamat di luar Negeri Sembilan, 3 salinan Surat Pengesahan Mastautin diperlukan;

2)    3 salinan surat nikah/ cerai/ rujuk

3)    3 salinan Sijil Kelahiran bagi setiap anak

4)    3 salinan Penyata Tuntutan (boleh didapatkan di kaunter pendaftaran)

5)    Bayaran pendaftaran

 

Sekian.

Saya sedang menguruskan urusan pusaka kecil arwah ibu mertua. Maklumat berkaitan Harta Alih si Mati adalah seperti berikut:

 

a) simpanan di Tabung Haji

b) insurans

c) ASB

 

Saya, suami dan bapa mertua telah pergi ke Tabung Haji, PNB dan syarikat insurans bagi menguruskan tuntutan.

 

Saya dimaklumkan bahawa pembahagian semua simpanan di atas hendaklah mendapat sijil faraid terlebih dahulu sebelum wang tersebut diagihkan dan digunakan oleh waris.

 

Mohon bantu dari segi prosedur permohonan.

 

Terima kasih

Puan,

Terima kasih atas soalan yang diajukan.

Sebagaimana makluman Puan, Sijil Faraid bagi Harta Alih si mati (bapa mertua) boleh diperolehi di Mahkamah Syariah. 

1)  Untuk memfailkan kes Faraid di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, suami puan mestilah seorang yang bermastautin di Negeri Sembilan.

2)  Jika harta tinggalan si mati tidak melebihi RM 100,000.00 (anggaran), maka suami puan bolehlah ke mana-mana Mahkamah Rendah Syariah Daerah yang berdekatan dengan tempat tinggal.

3)  Namun, sekiranya dianggarkan harta tersebut melebihi nilai RM100,000.00 (dan ke atas), maka pemfailan kes hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah yang terletak di Bandar Seri Sendayan.

BERIKUT ADALAH DOKUMEN-DOKUMEN YANG DIPERLUKAN :

1.  (3) salinan Kad Pengenalan Pemohon (suami).

2.  (3) salinan Surat Pengesahan Mastautin (jika alamat KP di luar Negeri Sembilan).

3.  (2) salinan affidavit beserta ekshibit (borang boleh didapati di Kaunter Mahkamah)

4.  (2) salinan Sijil Kematian

5.  (2) salinan Surat Nikah/ Cerai si mati (Akuan Berkanun jika hilang)

6.  (2) salinan dokumen harta yang berkaitan

7.  (2) salinan Kad Pengenalan / Daftar Kelahiran bagi setiap ahli waris.

8.  Bayaran Pendaftaran.

Jika terdapat sebarang kemusykilan lain, Puan boleh menghubungi pihak kami (kaunter) di talian 06- 781 2555/ 2444. 

Sekian.

 

Minta nasihat pendapat dan cadangan jika melibatkan suami yang mempunyai masalah ketagihan adah jenis syabu. Apakah harus membuat tuntutan cerai / fasakh? Bagaimana pula dengan hak penjagaan apakah syarat ibu mendapat hak penjagaan anak.

 

Puan,

Terima kasih atas soalan yang diajukan.

Bagi menjawab soalan Puan berhubung masalah rumahtangga, di mana pihak suami mempunyai masalah penyalahgunaan dadah.

Sekiranya Puan berasa tidak selamat atau terancam dengan keadaan rumahtangga sekarang, Puan dinasihatkan supaya membuat laporan/ aduan kepada Pihak Berkuasa terlebih dahulu untuk tindakan lanjut bagi menjaga keselamatan diri dan anak-anak.

Seterusnya, Puan boleh hadir ke Mahkamah untuk memfailkan Tuntutan Perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 dengan menyatakan alasan-alasan yang munasabah mengapa perkahwinan Puan ini perlu dibubarkan kerana telah mendatangkan mudharat kepada Puan dan anak-anak.

Manakala bagi jagaan anak-anak, Puan juga boleh memfailkan bersama kes Tuntutan Hak Jagaan berdasarkan Seksyen 82, enakmen yang sama.

Bagi memfailkan kes di Negeri Sembilan, Puan hendaklah merupakan seorang yang bermastautin di Negeri Sembilan. Pemfailan kes perceraian boleh dibuat di Mahkamah Rendah Syariah yang berdekatan dengan tempat tinggal, manakala bagi kes Tuntutan Hak Jagaan Anak perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah yang bertempat di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Borang pendaftaran kes boleh didapati di Kaunter Mahkamah Syariah. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Kaunter di talian 06- 7812 5555 atau 06- 7812 444. 

Semoga maklumat ini dapat membantu Puan.

Wassalam.