LATAR BELAKANG SULH

Unit Sulh di Jabatan Kehakiman Syariah telah ditubuhkan pada 1 September 2006. Penubuhan unit Sulh ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan bahawa :

“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan SULH bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian mengikut hukum syarak”.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan sekarang mempunyai 8 orang pegawai Sulh yang telah ditempatkan di setiap Mahkamah Syariah daerah-daerah di Negeri Sembilan. Setiap Mahkamah Syariah Daerah telah menempatkan seorang Pegawai Sulh untuk membawa kes-kes yang boleh Sulh di daerah tersebut. 

 

DEFINISI SULH

Sulh bermaksud perdamaian. Dari segi bahasa, Sulh bermaksud “penamatan sesuatu pertikaian”. Definisi Sulh dari segi istilah syarak pula ialah “suatu aqad yang menghasilkan persetujuan dan menghilangkan persengketaan”.

Dari definisi ini dapat difahami Sulh merupakan penyelesaian suatu pertikaian antara dua pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan mendapatkan persetujuan bersama antara pihak-pihak tersebut secara sukarela tanpa paksaan.

Majlis Sulh pula ialah suatu majlis perbincangan atau perundingan secara damai antara 2 pihak yang bertikai yang diadakan di hadapan Pegawai Sulh Mahkamah Syariah dengan tujuan untuk mendapatkan persetujuan bersama dalam menyelesaikan isu yang dipertikaikan sebelum kes tersebut di bawa ke peringkat perbicaraan di dalam Mahkamah.

 

PANDANGAN SYARAK DAN DALIL SULH

Terdapat beberapa dalil syarie berkaitan Sulh yang dinyatakan di dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hujrat Ayat 9

AYAT SULH 1.PNG

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisa Ayat 128:

Ayat Sulh.PNG

”Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai);”

Firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisa Ayat 114:

ayat suylh2.PNG

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Selain itu, ada diriwayatkan bahawa Saidina Umar Al-Khattab r.a. berkata:

“Suruhlah mereka yang bertelingkahan supaya duduk semeja agar mereka berunding. Jika hakim memutuskannya, mereka akan saling benci-membenci”.

Kata-kata Saidina Umar ini diucapkan di hadapan para sahabat dan tiada siapapun yang membantahnya. Dengan ini bermakna ulama’ Islam mencapai kata sepakat bahawa rundingan Sulh dibenarkan oleh Syarak.

 

OBJEKTIF SULH

Antara objektif Sulh adalah:-

 

1) Membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka melalui perundingan bersama secara damai tanpa perlu hadir ke prosiding perbicaraan di dalam Mahkamah

2) Membantu pihak-pihak menyelesaikan kes mereka dengan cepat dan teratur

3) Membantu Mahkamah mempercepatkan penyelesaian kes

4) Mengurangkan kadar kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah

 

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN SULH

Dalam melaksanakan Majlis Sulh, terdapat beberapa peruntukan Undang-Undang yang dirujuk iaitu:-

1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2003

2) Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Negeri Sembilan 

3) Buku Manual Kerja Sulh 

4) Arahan Amalan JKSM