1. Pendahuluan

Panduan ringkas ini dikeluarkan bagi menerangkan secara ringkas berkenaan konsep pelaksanaan sulh yang telah diperkenalkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri melalui Kaedah Sulh Mahkamah Syariah.

2. Pengertian Sulh

Al-Sulh di dalam bahasa Arab bererti `putus pertengkaran’ yang membawa maksud kompromi manakala pengertian syarak membawa maksud suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan / pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam. Di dalam amalan perundangan sivil ianya disebut mediation. Dengan kata lain, para ulama fiqh mentakrifkan al-Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham / bertikai. Amalan sulh juga telah diamalkan di dalam bidang mu’amalat Islam.

3. Dari Kaca Mata Perundangan Islam

  1. Dari sudut perundangan Islam, Al-Sulh antara sesama manusia adalah sunat. Dengan demikian, tidaklah ditegah bagi seorang hakim menganjurkan sulh kepada pihak-pihak yang terlibat. Hakim boleh menggalakkan mereka supaya melakukan sulh sekiranya ada dari pihak-pihak terlibat belum mengetahui perkara atau hak sebenar. Sulh merupakan suatu anjuran yang telah diperundangkan melalui Al-Qur’an, Al-Sunnah dan Ijma’.
  2. Di dalam Al-Qur’an di dalam ayat 128 Surah An-Nisa’ yang membawa maksud : “…..sulh adalah satu perkara yang baik. “
    Ayat ini adalah berasal daripada satu ayat panjang yang berkaitan dengan perundangan sulh atau perdamaian antara suami isteri. Terjemahan ayat tersebut adalah seperti berikut :- 
    Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenarnya dan perdamaian itu adalah baik

[Ayat 128 Surah an-Nisa’ ]

4. Kelebihan Sulh

a) Dapat menjimatkan masa dan kos pihak-pihak.

b) Perundingan bersifat pemimpin bukan dominasi sebelah pihak.

c) Perundingan melihat kepentingan masa akan datang pihak-pihak bukannya mengungkit dan menyalahkan pihak lain.

d) Penyelesaian secara sukarela (kerelaan) bukannya melepaskan geram.