Pengenalan SBSK

Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga atau SBSK adalah satu bahagian baru yang diwujudkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Kewujudannya diputuskan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-47 yang dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri ketika itu iaitu Dato’ Seri Haji Abdullah Bin Ahmad Badawi.

Tujuan utama BSK diwujudkan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan Perintah Nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Visi

“Berusaha menjadikan SBSK sebagai sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi membantu sistem pengukuhan kekeluargaan Islam ke arah pengwujudan masyarakat penyayang, penduduk berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif”

Misi

“SBSK komited untuk bertindak sebagai agensi utama dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang rakyatnya mengutamakan sistem kekeluargaan berlandaskan ajaran Islam, berperibadi mulia hasil daripada keluarga yang kukuh, berakhlak, sihat, berilmu dan harmoni”

Fungsi dan Peranan SBSK

  • Memberi khidmat nasihat perundangan Syariah kepada pihak-pihak yang telah dikeluarkan perintah Nafkah Anak oleh Mahkamah Syariah;
  • Melaksanakan tugas Peguam Syarie dan Bailif dalam pelaksanaan penghakiman dan penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah berkaitan dengan nafkah supaya perintah tersebut dapat dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua pihak;
  • Melaksanakan pengurusan pentadbiran yang berkaitan dengan perintah penguatkuasaan serta perintah pelaksanaan penghakiman oleh Mahkamah Syariah antara negeri-negeri supaya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan;     
  • Menguruskan bantuan sokongan kewangan kepada anak yang gagal mendapat bayaran nafkah oleh suami sama ada dalam perkahwinan atau perceraian berdasarkan hukum syarak;
  • Melaksanakan pengurusan sokongan dan nasihat bantuan kewangan kepada pihak yang terlibat terutamanya yang berkaitan pembiayaan nafkah mengikut lunas-lunas hukum syarak.