Seksyen 61. Bidang Kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu. 
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 [En. No. 11/2003] atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—

(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;
(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
(v) wasiat atau hibah semasa marad-al-maut;

(vi) hibah semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seorang orang Islam;
(vii) wakaf atau nazr;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-  masing orang itu berhak;
(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

(xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Seksyen 62. Bidang Kuasa Mahkamah Rendah Syariah

(1) Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah—

(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis lain itu tidak melebihi tiga ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

(3) Yang di-Pertuan Besar boleh dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta memperluas bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.