LATAR BELAKANG SULH

Unit Sulh di Jabatan Kehakiman Syariah telah ditubuhkan pada 1 September 2006. Penubuhan unit Sulh ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan bahawa :

“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan SULH bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian mengikut hukum syarak”.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan sekarang mempunyai 8 orang pegawai Sulh yang telah ditempatkan di setiap Mahkamah Syariah daerah-daerah di Negeri Sembilan. Setiap Mahkamah Syariah Daerah telah menempatkan seorang Pegawai Sulh untuk membawa kes-kes yang boleh Sulh di daerah tersebut. 

 

DEFINISI SULH

Sulh bermaksud perdamaian. Dari segi bahasa, Sulh bermaksud “penamatan sesuatu pertikaian”. Definisi Sulh dari segi istilah syarak pula ialah “suatu aqad yang menghasilkan persetujuan dan menghilangkan persengketaan”.

Dari definisi ini dapat difahami Sulh merupakan penyelesaian suatu pertikaian antara dua pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan mendapatkan persetujuan bersama antara pihak-pihak tersebut secara sukarela tanpa paksaan.

Majlis Sulh pula ialah suatu majlis perbincangan atau perundingan secara damai antara 2 pihak yang bertikai yang diadakan di hadapan Pegawai Sulh Mahkamah Syariah dengan tujuan untuk mendapatkan persetujuan bersama dalam menyelesaikan isu yang dipertikaikan sebelum kes tersebut di bawa ke peringkat perbicaraan di dalam Mahkamah.

 

PANDANGAN SYARAK DAN DALIL SULH

Terdapat beberapa dalil syarie berkaitan Sulh yang dinyatakan di dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hujrat Ayat 9

AYAT SULH 1.PNG

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisa Ayat 128:

Ayat Sulh.PNG

”Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai);”

Firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisa Ayat 114:

ayat suylh2.PNG

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Selain itu, ada diriwayatkan bahawa Saidina Umar Al-Khattab r.a. berkata:

“Suruhlah mereka yang bertelingkahan supaya duduk semeja agar mereka berunding. Jika hakim memutuskannya, mereka akan saling benci-membenci”.

Kata-kata Saidina Umar ini diucapkan di hadapan para sahabat dan tiada siapapun yang membantahnya. Dengan ini bermakna ulama’ Islam mencapai kata sepakat bahawa rundingan Sulh dibenarkan oleh Syarak.

 

OBJEKTIF SULH

Antara objektif Sulh adalah:-

1) Membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka melalui perundingan bersama secara damai tanpa perlu hadir ke prosiding perbicaraan di dalam Mahkamah

2) Membantu pihak-pihak menyelesaikan kes mereka dengan cepat dan teratur

3) Membantu Mahkamah mempercepatkan penyelesaian kes

4) Mengurangkan kadar kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah

 

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN SULH

Dalam melaksanakan Majlis Sulh, terdapat beberapa peruntukan Undang-Undang yang dirujuk iaitu:-

1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2003

2) Kaedah Tatacara Mal Sulh

3) Buku Manual Kerja Sulh : 

4) Arahan Amalan JKSM 

 

JENIS KES SULH

Merujuk Arahan Amalan No.1 Tahun 2010 :

Kes-kes yang dinyatakan ini perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah iaitu terdapat 18 Jenis Tuntutan:-

1) Gantirugi Pertunangan

2) Muta’ah

3) Harta Sepencarian

4) Nafkah Isteri

5) Nafkah Kepada Pihak Tak Upaya

6) Cagaran Nafkah

7) Nafkah Eddah

8) Mengubah Perintah Nafkah

9) Tunggakan Nafkah

10) Nafkah Anak

11) Mengubah Perintah Hak Jagaan Anak

12) Mengubah Perjanjian Hak Jagaan Anak

13) Hadhanah

14) Gantirugi Perkahwinan

15) Hak Tempat Tinggal

16) Perintah Supaya Suami Tinggal Bersama Semula

17) Isteri Kembali Taat

18) Mas Kahwin

Kes yang tidak perlu melalui Proses Sulh seperti berikut:-

1) Permohonan perceraian atau pengesahan Nasab

2) Kes Ex Parte atau Interim seperti Hak Penjagaan Sementara

3) Kes yang telah melalui Proses Pengantaraan di Jabatan Bantuan Guaman Malaysia

 

PROSES MAJLIS SULH

Terdapat beberapa peringkat Prosedur Kerja Sulh merujuk kepada Manual Kerja Sulh atau Kaedah Tatacara Sulh iaitu:-

1) Kes Didaftarkan di Mahkamah

2) Pendaftar Menilai Kes Yang Boleh Sulh akan diagihkan kepada Pegawai Sulh

3) Tarikh Majlis Sulh akan ditetapkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran kes.

4) Notis Kehadiran Majlis Sulh dikeluarkan kepada pihak-pihak

5) Majlis Sulh diadakan pada tarikh yang ditetapkan dengan kehadiran kedua-dua pihak di hadapan Pegawai Sulh

Berdasarkan Manual Kerja Sulh/Kaedah Tatacara Sulh telah menerangkan garis panduan bagaimana Majlis Sulh akan dijalankan iaitu:-

(i) Kenyataan Awal (Al Ta’arruf) Pegawai Sulh

- Mulakan dengan bacaan al-fatihah dan doa

- Perkenalkan diri

- Menerangkan matlamat dan peraturan sulh

- Kerahsiaan segala yang dibincangkan dalam Majlis Sulh tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak

(ii) Pembentangan Awal pihak yang bertikai

- Pihak Plaintif untuk membentangkan apa yang dipertikaikan serta cadangan untuk menyelesaikannya

- Pihak Defendan untuk membentangkan apa yang dipertikaikan serta cadangan untuk menyelesaikan masalah ini

(iii) Perbincangan Bersama untuk membincangkan cara penyelesaian

(iv) Jika tiada penyelesaian, Pegawai Sulh boleh membuat Pertemuan Sebelah Pihak (KAUKUS)

(v) Perundingan Bersama

(vi) Keputusan Majlis Sulh :-

KES SULH BERJAYA : Jika ada persetujuan bersama, Pegawai Sulh akan menderaf Perjanjian Penyelesaian dan pihak-pihak akan menandatangani perjanjian tersebut di hadapan Pegawai Sulh dan disampaikan kepada Hakim untuk diendorskan sebagai Perintah Mahkamah.

KES SULH GAGAL : Jika tiada persetujuan bersama, kes tersebut akan diserahkan kembali kepada Mahkamah untuk dibicarakan di hadapan Hakim.

 

PROSES KERJA & CARTA ALIRAN SULH

Merujuk Arahan Amalan No.7 Tahun 2015.

 

TEMPOH PENYELESAIAN KES SULH

Tempoh penyelesaian kes adalah tidak lebih 2 bulan. Ini bermakna dalam tempoh 2 bulan, kes tersebut mesti diselesaikan di peringkat Majlis Sulh. Berbanding proses perbicaraan ia tidak menetapkan tempoh penyelesaian sesuatu kes kerana ia bergantung dan terikat dengan prosedur-prosedur tertentu.