Pengenalan BSK

Bahagian Sokongan Keluarga atau BSK adalah satu bahagian baru yang diwujudkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Kewujudannya diputuskan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-47 yang dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri ketika itu iaitu Dato’ Seri Haji Abdullah Bin Ahmad Badawi.

Tujuan utama BSK diwujudkan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan Perintah Nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Visi

“Berusaha menjadikan BSK sebagai sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi membantu sistem pengukuhan kekeluargaan Islam ke arah pengwujudan masyarakat penyayang, penduduk berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif”

Misi

“BSK komited untuk bertindak sebagai agensi utama dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang rakyatnya mengutamakan sistem kekeluargaan berlandaskan ajaran Islam, berperibadi mulia hasil daripada keluarga yang kukuh, berakhlak, sihat, berilmu dan harmoni”

Fungsi dan Peranan BSK

  • Memberi khidmat nasihat perundangan Syariah kepada orang Islam mengenai hak dan tuntutan di Mahkamah Syariah terutama mengenai nafkah;
  • Melaksanakan tugas Peguam Syarie dan Bailif dalam penguatkuasaan perintah atau penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah berkaitan dengan nafkah supaya perintah tersebut dapat dipatuhi oleh semua pihak;
  • Melaksanakan pengurusan pentadbiran yang berkaitan dengan perintah penguatkuasaan serta perintah pelaksanaan penghakiman oleh Mahkamah Syariah antara negeri-negeri supaya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan; dan    
  • Menguruskan permohonan wang pendahuluan nafkah kepada anak yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari pihak wajib membayar nafkah.

Bahan Rujukan BSK